KOTA KINABALU: Kupi Kupi FM menerima anugerah emas stesen radio terbaik Sabah, satu pengiktirafan yang diberikan Sabah Human Development and Empowerment Association (SAHDEA) menerusi anugerah seni persembahan Sabah, tahun ini.
Anugerah itu yang julung kali diadakan diumumkan sempena sambutan Hari Jazz Antarabangsa UNESCO peringkat negeri Sabah anjuran SAHDEA, di sini pada 30 April lalu.

Selain Kupi Kupi FM, SAHDEA turut memberi pengiktirafan kepada Persatuan Seni Masyarakat Tonggak Sabah (Pillars Of Sabah) yang menerima anugerah perak atas komitmen mereka dalam memperkasa komuniti melalui pembangunan kteatif.

Turut menerima pengiktirafan ialah Kinabalu Podcast yang diberikan anugerah perak sebagai podcast teratas di Sabah, manakala akhbar Daily Express menerima anugerah intan atas liputan selama 60 tahun liputan berkaitan seni persembahan Sabah.
Sementara itu, mengenai sambutan Hari Jazz Antarabangsa, Presiden SAHDEA, Arthur Lee, berkata penganjuran acara itu kali ini lebih tertumpu kepada mereka yang mahukan konsert jazz yang lebih intim berbanding secara terbuka pada tahun lalu.
Sambutan itu yang diadakan di Hotel Hilton, Kota Kinabalu antara lain mengetengahkan pemain saksofon dari Indonesia, Hairul Nasution dan pemain muzik jazz terkenal Malaysia – Anthony Chang, Kirana Kay, Ivan Hii, Blue Note Band dan SIA Ecstatica dari Sabah Institute of Art. – Info X