Search

Pindaan Ordinan Buruh Sabah beri manfaat kepada pekerja dan majikan – Ketua Menteri

May 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyokong penuh pindaan terhadap Ordinan Buruh Sabah (OBS) bagi memastikan rakyat dan masyarakat industri di Sabah dapat menikmati faedah dan peluang ekonomi yang lebih baik dan setara seperti negeri lain.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, OBS dikuatkuasa sejak 1950 lagi dan selepas 40 tahun, pindaan kali pertama kepada ordinan itu dibuat pada 2005.

Katanya, tempoh 19 tahun adalah satu jangka masa yang lama dan sesuatu undang-undang itu perlu dikaji semula untuk ditambah baik terutamanya undang-undang yang melibatkan kebajikan pekerja dan keperluan majikan untuk menjalankan perniagaan.

“Sudah pasti undang-undang yang lebih terkini dan tidak ketinggalan, akan dapat menarik lebih banyak syarikat luar untuk datang melabur dengan lebih yakin dan selesa ke Sabah.

“Pindaan ini juga adalah tepat pada masanya kerana kerajaan negeri amat memerlukan satu perundangan perburuhan yang relevan dan sesuai dengan situasi perburuhan semasa,” katanya pada majlis sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji menyampaikan Anugerah Tokoh Pekerja Negeri (OKU) kepada Dr Jailani Idris pada sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024 di SICC.

Hajiji berkata, industri memerlukan undang-undang yang bukan saja menjaga kebajikan pekerja dan kemudahan menjalankan perniagaan oleh majikan, malah dapat mengadaptasi keperluan revolusi perindustrian terkini yang melibatkan teknologi automasi seperti Internet of Things (IOT), Big Data, Artificial Intelligence (AI) dan Cloud Computing.

Katanya, transformasi digital mewujudkan jenis pekerjaan baharu seperti Gig Worker yang memerlukan satu perundangan yang membolehkan industri dapat bergerak seiring dengan perubahan tersebut.

Menurutnya, cadangan pindaan pada kali ini akan memberi faedah secara menyeluruh, adil dan saksama kepada setiap pekerja dan majikan, malah adalah setara dengan perundangan yang ada di Semenanjung.

Beliau berkata, antara intipati penting pindaan kepada OBS kali ini adalah liputan diperluaskan kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan; tempoh cuti bersalin dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari; cuti paterniti selama tujuh hari yang layak kepada semua isteri yang sah untuk untuk lima anak pertama sahaja dan waktu kerja seminggu dikurangkan daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu.

“Pindaan pada kali ini membabitkan 12 pindaan utama kepada 62 fasal atau 75 peratus keseluruhan OBS. Justeru, saya dan barisan kepimpinan negeri, meletakkan harapan yang tinggi kepada Kementerian Sumber Manusia agar cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan OBS pada kali ini dapat dibentangkan pada sesi Parlimen yang akan datang.

“Ia penting agar dapat dilaksanakan dengan kadar segera untuk dinikmati faedahnya oleh warga pekerja dan majikan di Sabah,” katanya.

Hajiji yakin, pindaan OBS akan dapat menaikkan imej Sabah di peringkat antarabangsa terutama berkaitan isu hak asasi manusia dan hak buruh, penghapusan diskriminasi dan juga isu membasmi buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Hajiji menyampaikan Anugerah Khas Ketua Menteri kepada Viviantie Sarjuni pada sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024 di SICC.

Katanya, pindaan itu juga akan memudahkan Malaysia khususnya Sabah meneroka dan menembusi pasaran yang lebih besar melalui perjanjian Comprehensive and Progresive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) melibatkan 11 negara ahli yang hasilnya akan menarik lebih banyak pelabur datang, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan lebih luas kepada rakyat Sabah.

Beliau berkata, bagi memastikan kebajikan pekerja dan majikan sentiasa diutamakan, kerajaan negeri juga menyokong penuh penubuhan Majlis Penasihat Buruh peringkat negeri Sabah.

Menurutnya, Majlis Penasihat Buruh Sabah terdiri daripada 16 wakil kesatuan sekerja dan 16 wakil persatuan majikan terbesar mewakili seluruh pekerja dan majikan yang ada di negeri ini, manakala pihak kerajaan pula terdiri daripada 16 jabatan dan agensi negeri dan persekutuan yang bertanggungjawab terhadap isu perburuhan negeri.

“Kerajaan negeri meletakkan harapan yang tinggi agar melalui majlis ini setiap keputusan dasar dan perundangan yang dibuat oleh kerajaan akan mengambil kira sepenuhnya situasi sebenar yang berlaku di Sabah.

“Majlis ini juga akan menjadi platform untuk menyalurkan pandangan dan nasihat serta cadangan berkaitan perkara perburuhan kepada kerajaan.

“Ini juga bagi memastikan dasar dan perundangan yang lebih sesuai dengan perindustrian negeri dapat diterjemahkan dengan lebih tepat dan saksama,” katanya.

Hajiji juga mahu setiap perancangan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) termasuk latihan kemahiran kepada pekerja dan pencari kerja dibawa untuk dilaksanakan di Sabah, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

“Saya berharap agar kesemua inisiatif dan program pembangunan modal insan yang dilaksanakan KESUMA turut memberi keutamaan dan tumpuan kepada pekerja, majikan serta rakyat di Sabah.

“Ini bagi memastikan Sabah juga setaraf dengan pencapaian negeri-negeri lain. Selain itu, semua program itu juga selari dengan hasrat dan aspirasi kerajaan negeri melalui inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya. – Info X