KOTA KINABALU: Pasukan bola sepak wanita Sabah bertekad tidak akan memberi laluan mudah kepada pasukan lawan yang berniat merampas gelaran juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 yang dijadual bermula Julai depan.
Juara sulung LWN 2023 itu kini giat membuat persiapan bagi menghadapi saingan liga berkenaan dengan misi yang jelas iaitu untuk mempertahankan kedudukan nombor satu liga.
Pengurus pasukannya, Muhd Arziz Afizy Rumsani, berkata pemilihan pemain dan latihan sudah dibuat dari awal sebagai persiapan mengukuhkan pasukan bagi menghadapi saingan lawan yang dijangka lebih mencabar.
Jelasnya, program latihan dari awal diberi penekanan penting sebagai langkah utama memperkuatkan pasukan, terutama kualiti permainan, selaras dengan misi mempertahankan kedudukan juara.

“Pasukan bola sepak wanita Sabah sudah membuat latihan dari awal untuk kita mengekalkan kejuaraan pada 2024 ini.
“Saya yakin dan percaya kepada jurulatih kita, Justin Ganai dan juga semua pemain yang tersenarai kali ini boleh melakukan kejuaraan untuk kali yang kedua.
“Untuk menjadi juara, pasukan bola sepak wanita Sabah kenalah berlatih lebih awal untuk menjaga momentum apabila tiba saingan LWN 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak pemain dan pegawai pasukan bola sepak wanita Sabah, di sini, hari ini.
Seramai 25 pemain pasukan bola sepak wanita Sabah menandatangani kontrak untuk saingan LWN bagi musim ini dengan disaksikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang dan Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah.
Sementara itu, Justin, selaku ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Sabah, menjangkakan pasukan bimbingannya itu bakal berdepan saingan yang lebih mencabar dalam LWN musim ini.

“Untuk LWN, kita sudah tentulah menyasarkan untuk mengekalkan kejuaraan tetapi itu bukanlah sesuatu yang mudah. Jadi kita kena berusaha keras untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya. – Info X