KOTA KINABALU: Seorang pemandu maut selepas terperosok di bawah kepala treler yang dipandunya sendiri dalam kemalangan berhampiran Kampung Gudon, Manggatal, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa dipercayai terjun untuk menyelamatkan dari kenderaannya yang hilang kawalan.
Bagaimanapun, mangsa, Fairon Bola, 30, dipercayai digilis tayar treler berkenaan sehingga menyebabkan badannya dihimpit hingga terperosok ke dalam tanah di bawah kepala treler berkenaan.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 7.45 malam sebaik menerima maklumat kejadian.

Namun katanya, pasukan operasi gagal menemui mangsa dan terus menghubungi syarikat lori untuk mengenalpasti identiti pemandu treler berkenaan.
“Pasukan operasi bagaimanapun dimaklumkan, pemandu treler terbabit tiada di rumahnya menyebabkan operasi pencarian terpaksa dilakukan semula di lokasi kejadian.
“Mangsa akhirnya berjaya ditemui tertimbus dalam tanah di kiri kepala treler, jam 9.26 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Riki berkata, pasukan operasi seterusnya membantu mengeluarkan mangsa yang tertimbus menggunakan peralatan khas.

Katanya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 10.47 malam,” katanya.
Sementara itu, Riki berkata, operasi berkenaan melibatkan seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hasrulnizam. – Info X