LAHAD DATU: Enam lelaki berusia 13 hingga 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan bawah umur.
Ketua Polis Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes rogol membabitkan pelajar sekolah menengah berkenaan pada awal bulan ini.
Katanya, siasatan mendapati, mangsa membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.
“Kejadian yang dipercayai berlaku sejak awal tahun ini dilaporkan berlaku di rumah mangsa dan di dalam kenderaan.
“Hasil siasatan, kejadian melibatkan enam suspek termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dzulbaharin berkata, semua suspek berjaya ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Katanya, setakat ini, semua suspek ditahan reman bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek didapati negatif dari sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya.
Dzulbaharin berkata, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 10 tahun hingga maksimum 30 tahun dan sebat.
Sehubungan itu, Dzulbaharin menasihatkan masyarakat terutamanya ibubapa atau penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan, pergaulan dan tingkah laku anak masing-masing.
Katanya, perkara berkenaan perlu diambil perhatian ekoran jenayah rogol melibatkan remaja perempuan bawah umur agak membimbangkan.
“Para ibu bapa juga perlu memantau telefon pintar anak dan maklumat internet yang dimuatnaik bagi mengelakkan berlakunya insiden tidak diingini.
“Hubungan intim membabitkan remaja bawah umur adalah satu kesalahan di sisi undang-undang walaupun atas kerelaan sendiri,” katanya. – Info X