KOTA KINABALU: Yayasan PETRONAS menyumbang sebanyak 500 bakul makanan kepada golongan kurang berkemampuan di Sabah menerusi program Memacu Kehidupan sempena sambutan Pesta Kaamatan, tahun ini.
Pengagihan sumbangan itu bermula di daerah Ranau sempena Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2024 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada 1 Mei lalu.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis menyerahkan bakul makanan kepada penerima terpilih di Ranau yang dikenal pasti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah.
Sebanyak 300 bakul makanan diagihkan kepada penerima di Ranau, manakala selebihnya diagihkan kepada penerima di daerah Kota Marudu, Penampang dan Kota Kinabalu.
Sementara itu, menerusi satu kenyataan hari ini, Shariah Nelly menyifatkan Kaamatan bukan sekadar sambutan sempena musim menuai padi, malah melambangkan kesalinghubungan dan semangat komuniti yang mengeratkan semua lapisan masyarakat.
“Kami berharap agar sumbangan ini dapat sedikit sebanyak membawa keceriaan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, program Memacu Kehidupan adalah sebahagian daripada strategi program kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang dilaksanakan Yayasan PETRONAS.
Katanya, inisiatif itu selaras dengan Agenda Kelestarian PETRONAS selain sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sumbangan yayasan itu amat dihargai penerimanya yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan terutama dalam memeriahkan sambutan Kaamatan pada tahun ini.
Seorang daripada penerima di Ranau, Masnah Kuridi, 60, yang juga seorang ibu tunggal menyifatkan sumbangan Yayasan PETRONAS itu sebagai sesuatu yang bermanfaat kepada golongan sepertinya.
“Saya amat berterima kasih atas sumbangan ini. Dengan ini, sambutan Kaamatan pada tahun ini akan lebih meriah,” katanya.
Bagi seorang malim gunung atau jurupandu di Gunung Kinabalu, Milter Gangkuh, 52, beliau mengucapkan terima kasih bagi pihak Persatuan Malim Gunung Kinabalu kerana ahli persatuan itu adalah antara penerima sumbangan berkenaan. – Info X