Search

Pemain Sabah FC tampil dengan ‘Tagap’ musim ini

May 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC tampil dengan ‘Tagap’ bagi menghadapi saingan Liga Super 2024 / 2025 yang akan bermula Ahad ini.

‘Tagap’ yang bermaksud sasa atau kuat adalah jersi baharu untuk aksi perlawanan di laman sendiri yang dilancarkan hari ini.

Jersi berwarna merah keluaran Lotto itu menjadi jersi rasmi skuad Sang Badak setiap kali melayan kunjungan lawan di Stadium Likas bermula dengan Pulau Pinang FC pada 12 Mei ini.

Pelancaran jersi skuad Sang Badak itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Beliau menyifatkan jersi baharu itu sebagai penyuntik semangat bukan saja kepada pemain Sabah FC, malah peminat bola sepak yang mahu melihat pasukan kesayangan mereka tampil lebih bertenaga musim ini.

“Ini adalah saat yang ditunggu-tunggu bukan saja dalam kalangan pemain dan pengurusan Sabah FC tetapi juga dalam kalangan penyokong dan peminat Sabah FC.

“Saya berharap dengan pelancaran jersi baharu ini, akan menyuntik semangat pemain untuk bermain dengan lebih baik pada musim ini.

“Jersi baharu yang dilancarkan ini dinamakan Tagap, sesuai dengan makna sebutan itu dalam kalangan orang Sabah yang bermaksud ‘fit’,” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap penaja Sabah FC musim ini, Jetama Sdn Bhd, Al-Ikhsan, Sabah Energy Sdn Bhd, Asian Supply Base Sdn Bhd, Sabah Credit Corporation dan Qhazanah Sabah Berhad selain beberapa lagi syarikat yang menjadi rakan strategik atas sokongan kepada pasukan.

Sementara itu, Shahelmey mengingatkan penyokong dan peminat setia Sabah FC supaya menyokong pasukan dengan membeli jersi atau barangan asli yang dijual pasukan.

“Kita mohon kepada penyokong dan peminat setia Sabah FC supaya membeli barangan ‘original’ kerana dengan itu bukan saja peminat dapat barang berkualiti, tapi juga sebagai sumbangan kepada Sabah FC.

“Kita ada dengar banyak kelab menghadapi masalah kewangan dalam pengurusan dan operasi kelab, jadi dengan membeli barang ‘original’ sedikit sebanyak penyokong bukan saja dapat menzahirkan sokongan secara fizikal tetapi juga secara kewangan,” katanya.

Jelasnya, walaupun jumlah kewangan yang disumbangkan melalui pembelian barangan asli pasukan kecil, namun ia tetap bermakna dan boleh menjadi nilai yang besar berdasarkan jumlah peminat yang ramai.

Beliau mengulas perkara itu ketika ditanya mengenai isu jersi tiruan yang masih dihadapi pasukan bola sepak, menyebabkan sumbangan menerusi jualan jersi asli masih kecil. – Info X