LAHAD DATU: Sebuah lori dump truck ditahan di sebuah stesen minyak di Batu 8, Jalan Silam, di sini, selepas didapati membawa minyak diesel yang dipercayai cuba diseleweng, semalam.
Dalam operasi jam 7.30 malam itu, lori berkenaan didapati membawa 23 drum plastik biru berisi bahan bakar tanpa dokumen pengesahan pemilikan barang subsidi.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, operasi Ops Taring Landai itu dijalankan atas maklumat risikan dan pemantauan berkaitan aktiviti penyelewengan minyak bersubsidi di daerah berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan, lori tanker jenis Nissan UD 10 tan Dump Truck membawa kira-kira 4,600 liter minyak diesel bersubsidi.
“Hasil pemeriksaan lanjut, semua bahan bakar berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengesahan daripada pihak berkuasa.
“Seorang lelaki yang dipercayai pemandu lori berkenaan terus ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, lori dan bahan subsidi berkenaan terus dirampas untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, suspek dan rampasan dibawa ke pejabat PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya. – Info X