KOTA KINABALU: Sabah FC melalui Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menerima suntikan RM500,000 daripada Qhazanah Sabah Berhad (QSB) sebagai sumbangan untuk pengurusan pasukan.
Sumbangan itu disampaikan Pengerusi QSB, Datuk Dr Yusof Yacob kepada Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid pada majlis sambutan Aidilfitri dan Kaamatan QSB, di sini, hari ini.
Penyerahan sumbangan itu disaksikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QSB, Ahmad Rizal Dahli.
Mengulas mengenai sumbangan QSB itu, Dr Yusof berkata ia adalah satu bentuk sokongan terhadap perkembangan sukan bola sepak di negeri ini.
“Kita tahu sukan ini memerlukan dana dan hari ini QSB menyampaikan sumbangan RM500,000 kepada SAFA seperti diputuskan Lembaga Pengarah QSB dan yang termampu pada masa ini.
“Mudah-mudahan, insyaAllah pada masa hadapan apabila Qhazanah (QSB) dapat keuntungan bolehlah kita agih-agihkan lebih daripada itu,” katanya.
Beliau berkata, Kumpulan QSB memberi sumbangan korporat kepada SAFA pada setiap tahun untuk pengurusan pasukan Sabah FC.
Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, QSB kini dalam proses transformsi atau mengubah startegi perniagaan baharu.
“Ini termasuk mengaktifkan semua anak syarikat sebagai pusat keuntungan dan akan menyumbang pendapatan kepada kumpulan QSB. Keseluruhannya nanti QSB akan menyumbang dividen kepada kerajaan negeri dan itu matlamat kita.
“Saya sudah melihat potensi yang sangat besar dan baik, insyaAllah mudah-mudahan kita dapat laksanakan pada penggal keempat tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Shahelmy berkata, sumbangan QSB itu amat bermakna kepada SAFA khususnya Sabah FC dalam membantu pengurusan kewangan menghadapi musim 2024-2025. – Info X