KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyangkal tuduhan tidak berasas pihak tertentu yang mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melantik syarikat kroni untuk kerja pembersihan pantai.
Pihak terbabit mendakwa lantikan itu menjadi punca kerja pembersihan pantai di bandar raya ini tidak terurus menyebabkan ada kawasan pantai dalam keadaan kotor disebabkan sampah yang tidak dikutip.
Menerusi satu kenyataan, di sini, DBKK menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak bertanggungjawab, selain tidak berasas kerana dibuat tanpa merujuk fakta sebenar daripada PBT itu.
“DBKK menyangkal tuduhan tidak berasas pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa bahawa DBKK melantik syarikat kroni untuk kerja pembersihan pantai yang menyebabkan ia menjadi tidak terurus.
“DBKK berharap agar setiap kenyataan yang disiarkan oleh mana-mana individu awam wajar disemak dan dibina berdasarkan semakan fakta yang tepat,” katanya kenyataan itu.
Kenyataan DBKK itu sebagai maklum balas terhadap satu video tular, baru-baru ini yang menunjukkan kawasan di sekitar Pantai Tanjung Aru Satu, di sini dicemari sampah-sarap.
Video bertajuk ‘DBKK Dapat Anugerah Rasuah?’ itu didakwa dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab yang membuat tuduhan tidak benar berhubung syarikat lantikan DBKK yang menjalankan kerja pembersihan pantai di kawasan bandar raya ini.
DBKK menjelaskan bahawa pihaknya melantik sebuah syarikat tempatan bagi membantu mengawal selia tahap kebersihan pantai dalam kawasan banda raya Kota Kinabalu.
“Syarikat ini telah memulakan kontrak kerja-kerja pembersihan pantai sejak 1 Ogos 2022. Laporan prestasi perkhidmatan syarikat itu setakat ini memuaskan dan ia dilapor sentiasa mematuhi jadual pembersihan yang ditetapkan DBKK.
“Skop kawasan penugasan yang diberikan kepada syarikat ini merangkumi kawasan Pantai Tanjung Aru yang bermula dari bangunan Kinabalu Yacht Club hingga tembok Shangri-La’s Tanjung Aru Resort.
“Selain itu, ia juga ditugaskan menjaga Pantai Tanjung Lipat, perangkap sampah berhampiran IMAGO Shopping Mall, perangkap sampah Omega, perangkap sampah Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, pantai di muara Sungai Likas, pantai bersebelahan Anjung Senja dan pantai Kampung Kabel, Tanjung Aru,” katanya.
Sementara itu, kenyataan berkenaan menjelaskan bahawa kawasan Pantai Tanjung Aru Satu dipenuhi sampah yang tular menerusi rakaman video di media sosial baru-baru ini adalah milik persendirian, bukan di bawah seliaan DBKK.
Katanya, kawasan berkenaan adalah sebahagian daripada pantai di bawah seliaan Tanjung Aru Eco Development (TAED) Sdn Bhd. – Info X