PENAMPANG: Pengurus Besar KUPIKUPI FM Sabah, Lester C Miol berkata, muzik video terbaru yang bakal disiarkan di laman YouTube bermula jam 8 malam ini mungkin video muzik (MV) terakhir dikeluarkan mereka.
Katanya, stesen radio berkenaan sebelum ini tidak pernah terlepas dari mencipta lagu dan MV setiap kali tibanya sambutan Pesta Kaamatan pada bulan Mei.
Namun, beliau berkata, sudah tiba masanya KUPIKUPI FM tampil dengan kelainan yang akan diumumkan apabila tiba masanya nanyi.
“MV tahun ini mungkin yang terakhir kami buat, bukannya kami mahu berhenti berkarya tapi sudah tiba masanya kami membuat satu kelainan,” katanya pada majlis pra pelancaran MV terbaharu KUPIKUPI FM yang bertajuk Idola, di Saiki Sky Rooftop, di sini, malam tadi.
KUPIKUPI FM sebelum ini telah mengeluarkan banyak MV pada setiap tahun seperti Tiga Kali Satu Hari, Lima Puluh Ringgit, Tiada Guna dan beberapa lagi.
MV Tiga Kali Satu Hari yang setakat ini mempunyai 2.4 juta tontonan di YouTube juga pernah memenangi pingat gangsa pada anugerah APPIES Asia Pacific (APAC) 2022.

Mengenai lagu terbaharu itu, Lester berkata, lirik dan lagu dicipta oleh Felix Agus yang mula menyertai keluarga KUPIKUPI FM sebagai penyampai pada tahun ini.
Katanya, Brandon Laurie pula merupakan produser yang juga pemain bass dalam lagu itu selain Andy O’Mail sebagai pemain gitar, Christopher Basal sebagai pemain drum manakala ‘mixed & mastered’ dibuat oleh JD Wong dari Studio 21:25.
“Seperti sebelum ini, lagu Idola dinyanyikan oleh keluarga KUPIKUPI FM termasuk penyampai-penyampai semua,” katanya.

Lester turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan MV berkenaan terutama kepada penaja seperti Maxis, KTI Sdn Bhd, Pop Up Ink, Steve Johnny Mositun, D’Bundle Mania dan D’Lyna Lodge.
“Begitu juga dengan Saiki Sky Rooftop dan KK Auto Detailer yang menaja majlis pelancaran kita pada malam ini (semalam).
“Saya bagi pihak KUPIKUPI FM juga berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan MV ini sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
“Terima kasih juga atas sokongan dan dorongan daripada semua rakan-rakan kami, para artis, dan keluarga kami,” katanya.
MV terbaharu KUPIKUPI FM yang bertajuk Idola boleh ditonton di https://youtu.be/RX5dkF19VuA?feature=shared