LAHAD DATU: Buaya jantan sepanjang lebih lima meter yang ditemukan tersangkut di pukat nelayan di Kampung Sungai Nipah Tambisan, di sini diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, semalam.
Pembantu Hidupan Liar JHL Lahad Datu, Sylvester Wong berkata, pihaknya menerima buaya berkenaan daripada Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Desa Kencana.
Katanya, berdasarkan maklumat APM Desa Kencana, buaya itu tersangkut di salah satu pukat ikan penduduk di kampung berkenaan pada Rabu lalu.
“Anggota APM bersama penduduk kampung bertindak menangkap dan mengikat buaya terbabit, sebelum dibawa ke Pusat Operasi APM Lahad Datu.
“Pihak APM Lahad Datu kemudian menghubungi pihak JHL Lahad Datu untuk melaporkan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, kakitangan JHL Lahad Datu yang tiba di Pusat Operasi APM bertindak melonggarkan ikatan buaya berkenaan, namun keadaannya sangat lemah.
“Buaya yang dalam keadaan puntung kaki depan sebelah kiri itu dibawa ke perumahan JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular satu video yang memaparkan pihak APM dan penduduk terpaksa menggunakan jengkaut untuk mengangkat buaya jantan dewasa berkenaan. – Info X