Search

Dua termasuk wanita ditahan, disyaki curi motosikal 11 tahun lalu

May 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua kenalan iaitu seorang lelaki dan wanita ditahan selepas terbabit kes curi motosikal dalam dua serbuan berasingan daerah ini, semalam.

Suspek lelaki berusia 19 dan wanita berusia 46 tahun ditahan berhubung kecurian sebuah motosikal jenis Modenas Kris di Taman kemajuan, Likas, pada Disember 2013 lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis, Azmi Abd Rahim berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D4 JSJ IPK Sabah menjalankan tangkapan seorang lelaki disyaki terbabit kes curi motosikal.

“Serbuan dengan dibantu anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Kota Kinabalu berjaya menahan suspek di sebuah rumah setinggan di Kampung Likas.

“Hasil serbuan itu merampas sebuah motosikal jenis Modenas Kris yang hilang disyaki dicuri pada 2013 lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Motosikal yang disyaki dicuri berjaya ditemukan semula oleh sepasukan D4 JSJ Sabah.

Menurutnya, pada hari yang sama, jam 7.45 malam, suspek kedua seorang wanita ditahan di pejabat D4, JSJ IPK Sabah.

“Hasil siasatan suspek wanita disyaki terbabit dalam kes curi motosikal berkenaan dan berperanan sebagai penjual motosikal curi.

“Kedua-dua tangkapan dan rampasan dibawa ke pejabat D4 JSJ IPK Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi curi kenderaan bermotor. – Info X