PENAMPANG: Dua lelaki maut apabila motosikal dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang ketika cuba mengelak tayar lori yang tertanggal di Kilometer 7, Jalan Penampang-Kota Kinabalu, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 27 dan 17 tahun disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang bergerak dari arah Penampang menuju ke Kota Kinabalu.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar gantian lori komersial berkenaan dikatakan tertanggal dan jatuh di atas jalan.

“Ketika kejadian, dua motosikal yang bergerak dari arah sama cuba mengelak sehingga motosikal mangsa yang maut terjunam ke dalam longkang.
“Akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda 150 mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Erwansyah berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses besah siasat bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan itu, pihak polis memohon saksi kejadian supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Erwansyah menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya.
“Selain itu, polis juga meminta agar masyarakat tidak menularkan sebarang imej atau klip berkaitan insiden berkenaan di media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa terbabit,” katanya.
Operasi mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa dijalankan oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang. – Info X