KINARUT: Seorang pemandu dan penumpangnya terselamat selepas kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan sebelum terbakar di Jalan Pekan Kinarut, berhampiran Taman Rose Garden, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa seorang lelaki berusia 19 bersama penumpang wanita, 20 tahun, dikatakan sempat keluar sebelum kenderaan terbakar sepenuhnya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.36 pagi.
Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus digerakkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Viva yang terbabas sendiri sebelum melanggar tiang elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Akibat daripada kejadian berkenaan, kenderaan berkenaan terus terbakar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, dua mangsa terbabit berjaya keluar sendiri daripada kenderaan malang berkenaan sebelum ketibaan jentera.
Katanya, kedua-dua mangsa dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan dalam kemalangan berkenaan.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos salur bantu mula dari jentera dan api berjaya dikawal pada jam 5.10 pagi.
“Pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.33 pagi,” katanya. – Info X