Search

Dua rumah, empat kenderaan musnah dalam kebakaran

May 14, 2024

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Dua keluarga kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka di Kampung Nolotan Tandek, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu Mohammad Hasbi Hajat berkata kejadian jam 3.30 pagi itu bagaimanapun tidak membawa sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

“Kebakaran membabitkan dua buah rumah jenis separuh kekal masing-masing seluas 30×40 kaki dan 20×30 kaki terbakar sepenuhnya.

“Kejadian ini juga menjejaskan sebuah kereta jenis Proton Rusa terbakar 40 peratus dan tiga buah motosikal turut terbakar sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, pasukan Bomba yang tiba di lokasi bertindak menjalankan operasi pemadaman dengan menggunkan satu aliran 200 kaki, dua pancutan daripada sumber air dari jentera.

“Sebaik memastikan tiada keberbahayaan di lokasi, operasi terkawal pada jam 4.14 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.46 pagi,” katanya. – Info X