PENAMPANG: Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM16,000 dalam dua operasi berasingan di daerah ini dan Putatan, semalam.
Operasi kira-kira jam 4 petang itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan merampas dadah syabu seberat 466.07 gram.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, tangkapan pertama iaitu seorang lelaki berusia 41 tahun.
“Hasil daripada tangkapan itu, membawa kepada tangkapan kedua iaitu seorang wanita berusia 34 tahun.
“Polis kemudian menemukan satu peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 466.07 gram yang disembunyikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sammy berkata, hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek yang juga pasangan suami isteri didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, Sammy menyarankan masyarakat supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
“Terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah,” katanya. – Info X