Search

Sebatang paku simen dijual 20 sen di kedai Pakistan – James Ratib

May 14, 2024

Info X Reporters

PAITAN: Paku simen dijual 20 sen sebatang atau RM1.60 bagi lapan batang walaupun senarai harga bahan binaan itu menunjukkan lapan batang hanya berharga RM1.

Harga yang mengelirukan itu didakwa dikenakan peniaga warga Pakistan di kedai runcit mereka di daerah kecil ini menyebabkan penduduk kampung terpaksa membayar harga yang tidak sepatutnya.

Perkara itu didedahkan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib selepas tinjauan di beberapa premis di pekan Botition, Sugut, dekat sini, semalam.

Katanya, perbuatan peniaga terbabit menyalahi undang-undang kerana harga yang dikenakan kepada pengguna berbeza dengan harga yang sudah disenaraikan.

“Sebagai contoh, satu batang paku simen, dalam senarai harga barang jualan mereka ialah RM1 untuk setiap lapan batang paku tetapi apabila penduduk kampung datang membeli, ia dijual pada harga 20 sen sebatang.

“Saya mendapat laporan daripada orang kampung bahawa mereka (peniaga) menjual pada harga yang lebih tinggi sedangkan dalam senarai harga ialah RM1 untuk lapan batang.

“Sesudah diperiksa memang ternyata ada tertulis harga yang dipamerkan tidak sama dengan harga jualan dan orang kampung telah melaporkan perkara ini kepada saya.

“Peniaga didapati menjual paku mengikut batang dan bukan berdasarkan berat kilogram,” katanya selepas tinjauan khas bersama Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan, semalam.

Berikutan itu, James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut meminta KPDN supaya lebih kerap mengadakan pemeriksaan rutin di premis sekitar Paitan.

Katanya, perbuatan peniaga mengenakan harga sewenang-wenangnya tidak adil kepada penduduk kampung, terutama di kawasan luar bandar seperti di Paitan.

James mendakwa, harga barang kawalan seperti minyak masak paket satu kilogram yang sepatutnya berharga RM2.50 juga sering dinaikkan peniaga di luar bandar.

“Orang kampung tidak tahu bahawa produk minyak masak ini sudah ditetapkan harga jualannya iaitu tidak melebihi RM2.50 sepaket tetapi ada peniaga menaikkan harganya hingga RM3 atau RM4 sepaket,” katanya.

James yang juga menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal pengguna di negeri ini, berkata kerajaan tidak berkompromi, malah akan mengenakan tindakan tegas dan denda maksimum kepada peniaga, termasuk diusahakan warga Pakistan yang menaikkan harga barang jualan dengan sewenang-wenangnya. – Info X