TAWAU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengingatkan pelajar di institut pendidikan tinggi (IPT) di negara ini supaya tidak membabitkan diri dalam aktiviti menyalahi undang-undang.
Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud, turut menasihati ibu bapa supaya memantau anak masing-masing bagi memastikan mereka tidak terpengaruh atau terbabit dalam kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang.
“Suka juga saya menasihatkan semua penuntut KPT dan anak-anak muda supaya tidak terlibat dengan perkara tidak diingini dan kena menghormati undang-undang negara.
“Ibu bapa juga perlu mengawal anak-anak supaya tidak terpengaruh dengan pengaruh luar yang bukan menjadi adat budaya negara kita,” katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Jom Masuk U 2024 Zon Sabah di Dewan Kompleks Sukan Tawau, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mustapha mengesahkan dua pelajar IPT yang ditahan susulan insiden serangan terhadap Balai Polis Ulu Tiram di Johor semalam bukan belajar di institut kendalian KPT.

Katanya, dua pelajar terbabit, masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 21 dan 22 tahun bukan berada di bawah bidang kuasa KPT.
“Semakan maklumat dua individu terbabit mendapati penuntut wanita itu bukan di bawah KPT, manakala pelajar lelaki pula sudah lama berhenti kursus pengajian sejak 2021,” katanya.
Dalam hal yang sama, beliau turut meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai serangan itu dan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang menjadi mangsa dalam kejadian serangan itu.
Mengenai program hari ini, beliau berkata ia penting sebagai usaha memberi pengetahuan kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat kursus bersesuaian bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. – Info X