KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kerajaan negeri tidak perlu meniru apa yang dilakukan kerajaan Sarawak dalam melaksanakan apa-apa perubahan di negeri ini.
Beliau berkata, langkah itu hanya memperlihatkan bahawa kepemimpinan di negeri ini ketandusan idea dan identiti hingga perlu meniru apa yang dilaksanakan di negeri jiran itu.
“Kita tidak perlu meniru apa yang dilakukan oleh jiran kita, Sarawak, kerana itu mencerminkan kepimpinan Sabah yang tandus dengan idea dan identiti.
“Kerajaan lemah dalam mengenal pasti keutamaan untuk membangun negeri ini dan memastikan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus terpulihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memberi contoh cadangan untuk menukar gelaran Ketua Menteri kepada Premier seperti dilakukan di Sarawak perlu dilihat dari sudut Perlembagaan dan MA63.
Jelasnya, mengubah gelaran kepada Premier atau Perdana Menteri sekalipun tidak akan mengubah sifat autonomi Sabah yang tersurat dalam perjanjian berkenaan.
“Dalam Bahagian III Perkara 5 MA63, yang dipersetujui bersama oleh wakil-wakil dari Sabah menyebut ‘Chief Minister’ and ‘Mentri Besar’ both mean the president, by whatever style known, of the Executive Council in a State (and in particular ‘Chief Minister’ includes the Prime Minister in Singapore.
“Perkara ini telah dimasukkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi ‘Ketua Menteri’ dan ‘Menteri Besar’ kedua-duanya bererti yang dipertua, tidak kira dengan gelaran apa jua dia dikenali, Majlis Mesyuarat Kerajaan di dalam sesuatu Negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai implikasi terhadap proses pematuhan MA63 jika kerajaan negeri mengubah perlembagaan sewenang-wenangnya ketika Sabah sedang berunding mengenai interpretasi Perkara 112D berkaitan pemberian khas 40 peratus.
Katanya, kerajaan persekutuan dan jerajaan negeri perlu bersama-sama patuh dan menghormati MA63 serta Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.
“Sekiranya kita ingin mendapatkan pengiktirafan sebagai ‘rakan kongsi’, lebih baik meminta agar takrifan ‘Gabenor’ yang dipotong oleh Akta A354, Seksyen 41 pada 1976 dikembalikan.
“Takrif asalnya ialah ‘Gabenor’ bermaksud Ketua Negeri, tidak kira dengan gelaran apa jua yang digunakan, di sesuatu negeri yang tidak mempunyai raja (dan khususnya termasuklah Yang di-Pertua Negara Sabah, dan Yang di-Pertuan Negara Singapura),” katanya. – Info X