KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) Sabah menyifatkan tindakan kerajaan negeri memohon menjadi pencelah dalam prosiding semakan kehakiman berkaitan pemberian khas 40 peratus sebagai satu usaha menghalang rakyat Sabah mendapatkan hak dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata kenyataan yang dikeluarkan Ketua Menteri, semalam berhubung perkara itu juga menunjukkan kerajaan negeri masih tidak faham bahawa isu sebenar adalah hak yang perlu diberikan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dakwanya, ia bukan hanya menerima perjanjian pemberian khas dengan kerajaan persekutuan yang jelas langsung tidak sepadan dengan apa yang patut diterima oleh rakyat negeri ini.
Katanya, perjanjian pemberian khas di antara kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan mulai 2022 untuk bayaran tahunan interim sebanyak RM125.6 juta, dengan kenaikan dalam tempoh lima tahun (2022-2026) walaupun diwartakan, adalah suatu pelanggaran serius kewajipan Perlembagaan kerajaan persekutuan dan negeri terhadap rakyat Sabah.
“Di bawah Fasal (4) Perkara 112D, semakan semula kelayakan pemberian khas perlu diadakan selewat-lewatnya pada 1969, enam tahun selepas pembentukan Malaysia dan sekali lagi pada 1974 yang mana hal ini tidak pernah dilaksanakan.
“Pelanggaran itu berkemungkinan akan mempunyai beberapa kesan undang-undang yang meletakkan Sabah pada kedudukan yang tidak menguntungkan iaitu ia mungkin disifatkan sebagai penerimaan kepada nilai pemberian khas,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Beluran itu berkata, Ketua Menteri dalam kenyataan itu juga dilihat tidak konsisten pendiriannya berkaitan isu pemberian khas berkenaan.
Jelasnya, kerajaan negeri sepatutnya menyokong tindakan SLS, namun tindakan kerajaan negeri menjadi pencelah dalam semakan kehakiman itu memperlihatkan bahawa ia dan kerajaan persekutuan menentang SLS.
“Sepatutnya, SLS dan kerajaan negeri Sabah bekerjasama untuk memulakan prosiding bagi menuntut hak terakru rakyat Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan tanpa perlu membuat apa-apa perjanjian lain dengan kerajaan persekutuan.
“Tindakan membuat perjanjian lain itu sebenarnya mencabul hak rakyat Sabah dan menyalahi Perlembagaan Persekutuan.
“Perlu dinyatakan bahawa perjanjian pemberian khas itu langsung tidak menyatakan kegagalan kerajaan persekutuan untuk membayar pemberian khas sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kami berpendapat bahawa kerajaan negeri perlu mengkaji semula perjanjian pemberian khas dengan kerajaan persekutuan, menarik diri daripada menjadi pencelah dalam kes semakan kehakiman ini dan memulakan prosiding mahkamah sebagai proses yang betul dan tepat bagi menuntut hak rakyat Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Ronald berkata, pelaksanaan tanggungjawab pihak yang betul dan tepat di bawah Perlembagaan Persekutuan akan memastikan semangat Perlembagaan Persekutuan dipelihara sekali gus membantu kemajuan Sabah yang telah menyumbang banyak kepada kemakmuran Malaysia. – Info X