KOTA KINABALU: Parti Gagadan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) membidas Perikatan Nasional (PN) Sabah yang disifatkan membuat tuduhan dangkal berhubung tindakan kerajaan negeri mencelah prosiding semakan kehakiman berkaitan tuntutan 40 peratus hasil negeri.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata tuduhan bahawa kerajaan gagal menjaga kepentingan awam kerana tindakan itu adalah tidak berasas sama sekali.
“Mendakwa Kerajaan Sabah yang diterajui GRS gagal menjaga kepentingan negeri kerana celahan terhadap satu prosiding di mahkamah adalah dakwaan dangkal dan tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap tuduhan Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang mendakwa tindakan kerajaan negeri memohon menjadi pencelah dalam prosiding di Mahkamah Rayuan itu sebagai satu usaha menghalang rakyat Sabah mendapatkan hak dalam Perlembagaan Persekutuan.
Nizam menegaskan tindakan yang dilakukan peguam mewakili Jabatan Peguam Besar negeri itu tidak membawa apa-apa kesan terhadap pendirian dan komitmen kerajaan Sabah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih dari persekutuan.
“Pendirian Kerajaan Sabah terhadap semakan kehakiman itu tidak mengendurkan atau mengubah komitmen menuntut hak Sabah sesuai dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan negeri seperti yang telah ditegaskan oleh menerusi kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Jumaat lalu menghormati hak Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk memulakan prosiding mahkamah mengenai tuntutan 40 peratus tersebut.
“Kerajaan mengakui peranan penting litigasi kepentingan awam dalam memartabatkan kedaulatan undang-undang ke arah pentadbiran yang adil dan saksama.
“Sekiranya berlaku sebarang fakta atau hujahan semasa prosiding di mahkamah yang bercanggah dengan pendirian kerajaan, Ketua Menteri telah mengarahkan Peguam Besar Negeri Sabah untuk meneliti dan menyemak.
“Seandainya ada fakta yang perlu diperbetulkan, ia akan dilakukan bagi memberi gambaran jelas terhadap pendirian dan kedudukan rasmi kerajaan Sabah,” katanya.
Pada Khamis lalu, Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Peguam Negara berhubung kebenaran semakan kehakiman berkaitan isu 40 peratus yang diberikan Mahkamah Tinggi kepada SLS pada November tahun lalu.
Dalam prosiding itu, peguam kerajaan negeri, Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad, memohon untuk menjadi pencelah bagi pihak kerajaan negeri menyebabkan timbul tuduhan kononnya ia menyokong agar kebenaran semakan kehakiman itu ditarik balik.
Sementara itu, Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah mengulangi pendirian tegas kerajaan negeri yang disuarakan Ketua Menteri berhubung rayuan semakan kehakiman SLS terhadap tuntutan 40 peratus hasil bersih di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Hak-hak asas Sabah telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Perdana Menteri menerusi ucapan Belanjawan 2023 telah menjamin Kerajaan Persekutuan komited untuk meningkatkan kadar pemberian khas berbanding apa yang dipersetujui sebelum ini dan akan mempercepatkan proses rundingan untuk mencari jalan penyelesaian.
“Isu tuntutan 40 peratus telah dibincangkan dan sedang diperhalusi dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Melalui rundingan ini, Kerajaan Sabah terus mempertahankan hak-hak perlembagaan berkaitan formula perkongsian hasil yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuklah tuntutan dalam tempoh tahun-tahun yang dipersiakan (lost years) iaitu sejak 1974 sehingga kini,” katanya. – Info X