Search

Suspek tetak, samun peniaga diberkas

May 21, 2024

Info X Reporters

KUDAT: Seorang penjenayah yang menyamun dan menetak seorang peniaga pemberi pinjam wang berlesen di Pekan Baru, di sini, pagi tadi, berjaya diberkas polis.

Suspek warga asing berusia lingkungan 30 tahun diberkas dalam tempoh kurang 10 jam selepas kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang wanita yang melaporkan suaminya disamun oleh seorang lelaki tidak dikenali, jam 6.55 pagi.

Katanya, hasil maklumat itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan luka parah akibat terkena tetakan di bahagian tubuh badannya.

“Mangsa berusia lingkungan 30 tahun kemudian dihantar ke Hospital Kudat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut terhadap saksi kejadian, motif adalah samun terhadap mangsa sewaktu kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil operasi yang dijalankan berjaya menjejaki dan menahan suspek yang terbabit dalam kejadian samun berkenaan.

“Suspek warga asing ditahan di kawasan semak di Jalan Sikuati Lama, Sungai Karang, di sini, kira-kira jam 4.30 petang tadi.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X