Search

Kenyataan KM mesej jelas pendirian kerajaan tidak berganjak tuntut hak negeri, kata Anifah

May 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pendekatan ‘tegas dan mutlak’ kerajaan negeri dalam memperjuangkan semua hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan adalah jaminan kepada rakyat Sabah bahawa perjuangan itu masih berterusan.

Penasihat Khas Hubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing Kepada Ketua Menteri Sabah, Senator Tan Sri Anifah Aman, berkata kenyataan kerajaan negeri itu dikeluarkan selepas apa yang digambarkan pelbagai pihak sebagai ‘kesilapan’ pihak kerajaan ketika semakan kehakiman mengenai isu 40 peratus hasil negeri, minggu lalu.

“Secara objektif, kesilapan tersebut telah membawa sesuatu yang sangat positif. Satu mesej yang jelas telah dikeluarkan bahawa Sabah tidak akan berganjak walau sedikitpun. Kata-kata yang digunakan oleh Ketua Menteri dalam kenyataannya sangat jelas.

“Namun, kita mesti belajar dari kesilapan yang dibuat. Secara peribadi, saya melihat bahawa isu MA63 menyatukan semua rakyat Sabah walaupun terdapat perbezaan fahaman di antara kita. Inilah yang membuat kita kuat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anifah, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar dari 2009 hingga 2018, adalah tokoh utama dalam membawa isu MA63 ke arus perdana politik ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mana beliau adalah salah seorang pengasas bersama kumpulan MySabah yang mendorong pembentukan panel semakan MA63.

Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, bersetuju dan satu jawatankuasa telah dibentuk dengan Anifah menjadi pengerusi bersama Menteri Undang-undang ketika itu, Datuk Nancy Shukri dari Sarawak.

Pada 2018, beliau keluar dari parti lamanya, UMNO dengan alasan parti dan BN gagal menunaikan janji MA63.

“Saya tekankan bahawa saya mahu rakyat Sabah menerima layanan yang sama (seperti rakyat lain) dan mendapat hak penuh, tanpa sebarang kelewatan dan alasan. MA63 adalah titik permulaan pembentukan persekutuan yang kita kenali sebagai Malaysia hari ini,” katanya berdasarkan laporan pada masa itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam kenyataannya sebelum ini telah mengesahkan secara tegas bahawa Sabah tidak akan melepaskan hak perlembagaan asasnya berkaitan dengan geran khas 40 peratus hasil Persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata bahawa ia adalah hak kewangan negeri dan ‘jauh lebih daripada sekadar aspirasi.

Dalam prosiding rayuan Khamis lalu, kemasukan saat akhir kerajaan negeri sebagai pencelah menyaksikan peguam yang mewakili pejabat Peguam Besar negeri, Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad, mempersoalkan locus standi Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) dalam memohon semakan terhadap hak hasil 40 peratus negeri.

Tengku Fuad berkata bahawa Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan ‘bukanlah hak mandatori atau mutlak’ dan bahawa ‘geran khas hasil 40 peratus adalah satu aspirasi, sesuatu yang harus diusahakan daripada hak mutlak di bawah mandamus’.

Kerajaan Negeri bagaimanapun, menolak dakwaan tersebut.

Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, yang berdepan dengan desakan pelbagai pihak untuk meletakkan jawatan berhubung pengendalian perkara itu memberi jaminan bahawa pejabatnya akan mengambil langkah untuk membetulkan ‘kenyataan yang tersasar’ oleh peguamnya.

“Pejabat Peguam Besar Negeri akan mengambil langkah yang perlu untuk membetulkan sebarang kenyataan yang tersasar daripada pendirian rasmi dan jelas negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Anifah merayu agar rakyat bertenang supaya isu itu dapat ditangani demi kepentingan terbaik negeri dan rakyat Sabah.

“Apa sahaja tindakan dan keputusan yang kita buat mesti demi kepentingan terbaik Sabah dan rakyat. Perjalanan kita dalam memperjuangkan hak kita telah lama. Siapa tahu bila kita akan mencapai matlamat kita.

“Tetapi tidak wajar untuk kita berpecah dan menjadikan pihak tertentu sebagai musuh sepanjang perjalanan ini. Kita semua bersama dalam hal ini,” katanya. – Info X