KINABATANGAN: Seorang lelaki dikhutiri lemas selepas hilang ketika menjalankan kerja-kerja memasang kabel besi di Sungai Ulu Segama, di sini, hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Lee Boon Sin dikatakan gagal menyelamatkan diri selepas bot yang dinaiki bersama dua rakannya hanyut dipukul arus deras.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah hari.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak sejauh kira-kira 60 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dengan diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zia Hairil Shah Hamzah.
“Mengikut maklumat awal, mangsa bersama dua rakannya menaiki bot untuk memasang kabel besi namun disebabkan arus sungai deras bot yang dinaiki hanyut.
“Dua lagi mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi mangsa dilaporkan hanyut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi masih dalam perjalanan ke lokasi untuk mendapatkan maklumat dan menjalankan operasi SAR.
Katanya, sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X