Search

Ketua Menteri dan seluruh anggota Kabinet negeri perlu letak jawatan – Bung Moktar

May 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah berpendirian bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan seluruh anggota Kabinet negeri perlu mengambil tanggungjawab atas kelalaian Peguam Besar Negeri melihat kepentingan isu 40 peratus hasil Sabah dalam prosiding rayuan semakan kehakiman berhubung perkara itu, baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa seluruh kepemimpinan kerajaan negeri sekarang perlu meletak jawatan bagi mengembalikan mandat untuk memilih kerajaan baharu kepada rakyat.

Katanya, hanya dengan cara itu keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dapat dikembalikan, khususnya dalam usaha untuk menuntut hak negeri, termasuk pengembalian 40 peratus hasil bersih dari negeri ini yang dikutip kerajaan persekutuan.

“UMNO Sabah akan mengikuti secara dekat perkara ini dan jika ia tidak diperjelaskan serta diselesaikan dalam masa terdekat, YAB Ketua Menteri dan seluruh Kabinet perlu mengambil tanggungjawab secara kolektif dengan meletak jawatan agar mandat memilih kerajaan baharu dapat dikembalikan semula kepada rakyat.

“Keyakinan dan kepercayaan rakyat harus dikembalikan,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas isu pelantikan peguam mewakili kerajaan negeri yang memohon menjadi pencelah dalam rayuan semakan kehakiman berhubung isu 40 peratus di antara Peguam Negara dan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) di Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu pada Khamis lalu.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, penjelasan Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Aisah Mohd Yusof berhubung pelantikan peguam Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad itu semakin mengelirukan dan menimbulkan lebih banyak persoalan.

“Pelantikan dan tindakan melantik peguam Tengku Datuk Fuad sebagai wakil kerajaan telah mencabuli dan membelakangi aspirasi rakyat Sabah apabila menyerang SLS sebagai badan penyibuk dan tiada hak mewakili Sabah, sesuatu yang tidak dapat diterima dan sangat mengecewakan.

“Oleh itu, bukan sahaja Peguam Besar Negeri Sabah, malah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah juga seharusnya mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan secara terhormat.

“Mana mungkin Peguam Besar Negeri Sabah akan melakukan tindakan sebesar itu sendiri tanpa mendapat restu atau arahan pihak atasan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah kerana Peguam Besar Negeri Sabah adalah pendirian rasmi Kerajaan Sabah,” tegasnya.

Sehubungan itu, Bung Moktar berkata kenyataan peguam yang dilantik itu bahawa tuntutan 40 peratus bukanlah hak mutlak Sabah dan hanyalah satu aspirasi sahaja, boleh dianggap sebagai pendirian rasmi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, perkara berkenaan juga jelas menderhaka hak rakyat dan atas sebab itu Kerajaan GRS telah hilang segala kedudukan moral untuk terus mentadbir.

“Ternyata kempen Kerajaan GRS bahawa ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ dan ‘Sabah First’ hanyalah gula-gula politik semata-mata untuk memperbodoh-bodohkan rakyat Sabah keseluruhannya,” katanya. – Info X