Search

Kebakaran kilang fiber glass, 10 bot laju musnah

May 22, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Sepuluh buah bot laju musnah dalam kebakaran kilang pemprosesan fiber glass di Batu 8, Jalan Labuk, di sini, hari ini.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.20 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus Sainkui bersama 27 anggota ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah kilang pemprosesan fiber glass jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

“Turut musnah terbakar 10 buah bot laju,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bot laju yang musnah dalam kebakaran kilang pemprosesan fiber glass di Batu 8, Jalan Labuk, Sandakan.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran, enam pancutan dari sumber jentera serta 10 tong foam.

“Operasi terkawal pada jam 11.25 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.

“Operasi ditamatkan pada jam 3.30 petang. Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X