Search

PCS parti terbaharu sertai GRS

May 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) yang diketuai Senator, Tan Sri Anifah Aman menjadi parti terbaharu menyertai Gagasan Rakyat Sabah (GRS).

Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun berkata, PCS sebelum ini telah membuat permohonan secara rasmi untuk menyertai sebagai komponen baru dalam GRS.

“Kesemua presiden parti secara sebulat suara menerima PCS menjadi komponen GRS.

“Penyertaan PCS, sebuah parti lokal merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan politik di Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi berkata, GRS percaya dengan kerjasama yang lebih erat, gabungan berkenaan dapat mencapai matlamat bersama untuk membangunkan negeri Sabah ke arah yang lebih makmur dan sejahtera.

Katanya, selari dengan prinsip ‘Sabah First’, GRS yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kini semakin kukuh dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran Sabah tercapai.

“Kami berharap agar rakyat Sabah memberikan sokongan padu kepada GRS dalam usaha kita untuk membina masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua,” katanya.

Dengan penyertaan PCS, GRS kini dibarisi lapan parti termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), USNO, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP). – Info X