KOTA KINABALU: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Senator Tan Sri Anifah Aman memberi jaminan yang parti itu akan bekerja keras untuk memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai blok kuasa politik yang mencerminkan identiti rakyat Sabah.
Katanya, PCS juga berkongsi komitmen GRS untuk mengukuhkan usaha Sabah untuk mengangkat agenda tempatan di peringkat nasional, wilayah dan antarabangsa.
“Sukacita saya mengumumkan bahawa PCS telah diterima secara rasmi didalam gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Saya memberi jaminan bahawa PCS akan bekerja keras untuk memastikan GRS akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai blok kuasa politik yang mencerminkan identiti rakyat Sabah dari semua etnik dan kepercayaan serta satu bentuk kuasa yang mereka boleh meletakkan kepercayaan dan harapan mereka untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anifah berkata, sebagai sebuah parti politik tempatan, ia adalah di dalam ‘DNA’ politik PCS untuk memperjuangkan hak Sabah dan segala kepentingan yang terbaik untuk negeri dan rakyat.
“Untuk ini, kami berkongsi teras “Sabah First” GRS, yang merupakan pendekatan serampang dua mata yang meletakkan hak dan kepentingan Sabah sebagai keutamaan utama dan mementingkan pelbagai pembangunan yang diperlukan di Sabah,” katanya.
Menurutnya, PCS merupakan parti yang agak baru sejak beliau mengambil alih kepimpinan kira-kira empat tahun lalu.
Namun, katanya, parti itu telah berkembang dari segi kekuatan, kebijaksanaan, dan kematangan.
“Pemimpin dan ahli parti kita terdiri daripada semua lapisan masyarakat, yang semuanya didorong oleh rasa cinta yang tulen terhadap Sabah yang kita cintai, maka itulah nama parti kita.
“Kekayaan pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang mereka bawa kepada PCS adalah tidak ternilai dalam kami terus berusaha untuk membuat perubahan kepada kehidupan rakyat Sabah, yang juga merupakan matlamat tertinggi GRS,” katanya.
Bekas menteri luar itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan semua pemimpin gabungan kerana menerima PCS ke dalam keluarga GRS.
“Bak kata pepatah, keluarga yang makan bersama, sentiasa tetap bersama. Di atas meja bersama ini, PCS berkongsi visi dan misi yang sama dengan GRS demi Sabah dan rakyat negeri ini.
“Lagipun, PCS adalah parti tempatan Sabah dan oleh yang demikian, kami melihat rumah kami di GRS yang merupakan entiti politik tempatan yang telah lama dibayangkan oleh penduduk Sabah.
“Akhir sekali, saya teringat kata-kata Ketua Menteri kita (Hajiji) iaitu “Rumah Kita, Kitalah Yang Jaga” (Kita jaga rumah sendiri).
“Bagi kebanyakan orang Sabah, kata-katanya membuat kita merasa bangga kerana ia meluahkan suara hati kita dan bagi PCS, penerimaan parti kami ke dalam keluarga GRS membuatkan kami berasa seperti pulang ke rumah,” katanya. – Info X