TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot tempatan selepas didapati melakukan kesalahan di dua kawasan berasingan di sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan menerusi Op Pluto Timur 2 dan Op Sejahtera yang dilaksanakan di perairan daerah ini.
Katanya, tangkapan pertama membabitkan sebuah bot nelayan yang didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar perairan Merotai, pada jam 11.30 pagi.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga lelaki pemegang passport warga asing berusia 20 hingga 42 tahun di dalam bot berkenaan.
“Bot berkenaan didapati melakukan kesalahan menjalankan aktiviti menarik pukat kurang dari jarak dua batu nautika dari daratan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tangkapan kedua pula membabitkan bot penumpang yang didapati membawa 250 kilogram bawang bombay tanpa kebenaran pihak berkuasa, pada jam 12.15 tengah hari di perairan Batu 3, di sini.
“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 27 tahun gagal mengisytihar muatan yang dibawa dan melanggar syarat sah lesen bot penumpang,” katanya.

Katanya, kedua-dua bot berkenaan bersama muatan dan tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat lanjut.
“Semua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM120,000.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002, Akta Perikanan 1985 dan Akta Kastam 1967,” katanya.
Shahrizan menyeru kepada semua komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi udang-undang ditetapkan dan tidak akan berkompromi jika didapati gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.
“APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian MERS 999,” katanya. – Info X