KOTA KINABALU: Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak berkumpul atau membuat perhimpunan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, esok.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, menerusi satu kenyataan hari ini berkata, tiada sebarang kelulusan atau permit dikeluarkan pihak polis untuk mengadakan perhimpunan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Katanya, polis mengeluarkan peringatan itu berikutan ada ura-ura kumpulan tertentu mahu mengadakan perhimpunan yang dinamakan Aman Borneo sempena prosiding berhubung isu terbabit di Mahkamah Rayuan, esok.
“Pihak polis tidak menerima sebarang permohonan daripada pihak penganjur bagi mengadakan perhimpunan itu.
“Perhimpunan itu tidak mempunyai kelulusan atau tiada permit,” katanya.
Esok ditetapkan untuk pengurusan kes berkaitan rayuan Peguam Negara terhadap semakan kehakiman yang diberikan Mahkamah Tinggi kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada 11 November 2022.
Pada 16 Mei lalu, Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu mendengar rayuan Jabatan Peguam Negara dan hujah peguam mewakili SLS sebelum tiga hakim yang bersidang menangguhkan keputusan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Selain itu, peguam mewakili kerajaan negeri, Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad turut memohon menjadi pencelah dalam kes rayuan semakan kehakiman berkenaan.
Prosiding itu menarik perhatian ramai, khususnya pemimpin parti politik tempatan dan turut dihadiri tiga bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Info X