Search

Disangka rusa, dua lelaki cedera terkena tembakan rakan sendiri

May 23, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Dua lelaki cedera selepas dipercayai ditembak secara tidak sengaja oleh rakan sendiri dalam kejadian di kawasan kebun di Kampung Gaur, di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas kedua-dua mangsa yang sedang mencari herba tumbuh-tumbuhan di kawasan berkenaan ditembak selepas disangkakan seekor rusa.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 3.08 pagi daripada Unit Kecemasan Hospital Kota Belud.

Katanya, pihak hospital memaklumkan terdapat dua pesakit yang diberikan rawatan dipercayai terkena tembakan.

“Susulan kejadian ini, polis menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan merampas selaras senapang patah buatan sendiri ‘bakakuk’ bersama satu kelongsong peluru bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut mendapati, ketika kedua-dua mangsa dan suspek masuk ke kebun sebelum berpecah haluan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Shahrudin berkata, suspek yang membawa senjata berkenaan telah melepaskan tembakan ke arah dua-dua mangsa yang disangkakan sebagai seekor rusa.

Katanya, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut, paha serta kaki dan terus dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dibaca beraama Seksyen 37 akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman tujuh tahun penjara atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali” katanya.

Sehubungan itu, Shahrudin berkata, IPD Kota Belud menasihatkan orang awam supaya tidak menyimpan atau memiliki senjata api tanpa lesen yang sah.

Katanya, ia bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang kembali sehingga boleh mengancam keselamatan orang awam. – Info X