KOTA MARUDU: Seorang remaja perempuan cedera selepas pokok tumbang menghempap kediaman keluarganya di Kampung Tandek, di sini, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu juga menyebabkan kerosakan sebanyak 70 peratus pada bahagian bumbung rumah berkenaan.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK II) Dyiron Deris berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu yang tiba di lokasi bertindak memotong dan membersihkan dahan pokok tumbang menggunakan gergaji berantai.
Katanya, dahan pokok terbabit seterusnya dialihkan ditempat yang selamat.

“Terdapat seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dilaporkan tersepit di bahagian kaki kiri dan berjaya diselamatkan oleh ibu mangsa sebelum ketibaan Pasukan Bomba di lokasi.
“Selepas memastikan tiada lagi keberbahayaan lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 9.28 pagi,” katanya. – Info X