Search

Lelaki dilapor hilang di Sungai Ulu Segama ditemukan lemas pagi tadi tadi

May 23, 2024

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjalankan kerja-kerja memasang kabel besi di Sungai Ulu Segama, di sini, Selasa lalu, ditemukan lemas.

Mayat mangsa, Lee Bon Sin, 51, ditemui oleh orang awam pada jarak 500 meter dari Ladang AAP Plantation, kira-kira jam 11 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, sebaik dimaklumkan penemuan mayat mangsa, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian pagi tadi.

“Kira-kira jam 7.30 pagi tadi, pasukan bomba ke lokasi kejadian bagi membantu mengangkat mangsa.

“Seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mayat mangsa diangkat oleh pasukan bomba dengan dibantu orang awam. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa ditemui oleh orang awam pada jarak 500 meter dari Ladang AAP Plantation, kira-kira jam 11 malam tadi.

“Sebaik penemuan mayat mangsa, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.20 pagi,” katanya.

Terdahulu, mangsa dikhuatiri lemas selepas hilang ketika menjalankan kerja-kerja memasang kabel besi di Sungai Ulu Segama, Selasa lalu.

Mangsa dikatakan gagal menyelamatkan diri selepas bot yang dinaiki bersama dua rakannya hanyut dipukul arus deras. – Info X