Search

Isu 40 peratus: Ahmad Zahid, Azalina yang perlu letak jawatan, kata Pandikar

May 23, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said disaran supaya meletak jawatan kerana menidakkan hak rakyat Sabah.

Saranan itu disuarakan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana berpendapat tindakan kedua-dua pemimpin itulah yang menyebabkan Sabah tidak mendapat haknya, khususnya tuntutan berkaitan 40 peratus hasil Sabah.

Katanya, sikap berdiam diri kedua-dua pemimpin itu boleh dianggap sebagai merestui tindakan Peguam Negara membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang membenarkan semakan kehakiman dibuat Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) berhubung tuntutan 40 peratus.

Beliau berkata, komen dan saranannya itu adalah adil selepas Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini meminta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan jemaah Kabinet negeri meletak jawatan atas alasan kesilapan (blunder) dicetuskan di mahkamah oleh peguam mewakili kerajaan negeri, Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad dalam kes SLS lawan kerajaan persekutuan pada 16 Mei lalu.

“Sehubungan dengan saranan YB Datuk Bung sebagai Ketua UMNO Sabah supaya YAB Datuk Hajiji dan jemaah menterinya meletakkan jawatan atas sebab-sebab yang beliau nyatakan, maka adalah juga ‘fair comment’ dan tidak salah kalau saya menyarankan supaya Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku pemimpin atas UMNO meletakkan jawatan.

“Ini kerana mereka menidakkan hak-hak rakyat negeri Sabah dengan sikap berdiam diri yang boleh disifatkan sebagai merestui tindakan Peguam Negara membuat rayuan kepada keputusan mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Atas sebab itu, Pandikar Amin meminta Bung Moktar secara terbuka membuat kenyataan media mendesak Azalina dan Ahmad Zahid menasihati Perdana Menteri untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan SLS memulakan proses semakan kehakiman berhubung hak rakyat Sabah di bawah Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menyusul selepas Bung Mokhtar sebelum ini menyarankan agar Ketua Menteri dan anggota kabinetnya meletak jawatan ekoran daripada ‘blunder’ yang dicetuskan di mahkamah oleh Tengku Datuk Fuad.

“Sejujurnya, saya amat memahami perasaan dan kekecewaan YB Datuk Bung itu.

“Saya juga berpendirian bahawa, hujah Tengku Datuk Fuad di mahkamah yang tidak membantu SLS amat mengecewakan dan merupakan pencabulan dan pengkhianatan kepada hak-hak rakyat negeri Sabah selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang dimaktubkan dalam Artikel 112 C dan 112 C Perlembagaan Persekutuan.

“Di dalam ‘berkongsi’ kekecewaan ini, saya terpanggil untuk mengingatkan YB Datuk Bung, bahawa ‘blunder’ yang dicetuskan Tengku Datuk Fuad itu sebenarnya berpunca daripada tindakan Peguam Negara yang mewakili Kerajaan Persekutuan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memberi kebenaran kepada SLS untuk memulakan tuntutan semakan kehakiman terhadap makna Artikel 112C dan 112D.

“Yang amat memuskilkan saya ialah, seandainya Kerajaan Persekutuan mempunyai keiklasan dan kesungguhan untuk membantu rakyat Sabah, kenapakah hak-hak mereka yang dijamin didalam Perlembagaan Kerajaan Persekutuan dibawah Artikel 112D dan 112C tidak dipermudahkan segala pengurusannya.

“Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan melalui wakilnya, Peguam Negara menidakkan hak ini dengan membuat rayuan,” katanya.

Pandikar Amin berkata, jika Bung Moktar serius dengan saranannya iaitu mempertanggungjawabkan Ketua Menteri dan jemaah menterinya atas ‘blunder’ peguam mewakili Kerajaan Negeri, adalah adil dan tidak salah jika dikatakan Peguam Negara yang membuat rayuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi adalah juga ‘pencabulan dan pengkhianatan’ kepada hak rakyat Sabah yang dijamin di bawah Artikel 112C dan Artikel 112D. – Info X