KOTA KINABALU: Tujuh remaja ditahan reman berhubung insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan remaja di hadapan Pasar Besar Kota Kinabalu yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Musa berkata, ekoran daripada kejadian berkenaan, satu laporan polis diterima.
Katanya, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan tujuh remaja berusia lingkungan 14 tahun ke atas.
“Kejadian membabitkan sekumpulan remaja yang disyaki bergaduh sesama sendiri dengan menggunakan objek seperti batang paip dan kayu.
“Pihak polis mengesahkan insiden ini tidak melibatkan unsur-unsur kongsi gelap dan ia berpunca daripada buli, memeras dan rasa tidak puas hati,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Kasim berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman atau kenyataan tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa.
Katanya, ia dibimbangi boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, tindakan sekumpulan kanak-kanak menjadikan kawasan bulatan dan jalan raya di hadapan Pasar Besar Kota Kinabalu sebagai ‘gelanggang’ permainan seperti tular dalam sebuah video di media sosial bukan saja membahayakan keselamatan mereka, malah menjejaskan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Kehadiran kanak-kanak terbabit juga menjejaskan keceriaan bandar raya, selain menyakitkan mata memandang terutama jika dilihat pelancong dan pengunjung luar. – Info X