KOTA BELUD: Seramai 30 petani di Kampung Melangkap Kapa dan Taginambur, di sini, menyertai kursus kemahiran mengitar semula sisa pertanian untuk dijadikan baja berasaskan bio berkualiti tinggi menggunakan teknologi vermikompos.
Kursus selama enam bulan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensinya, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) itu disasar untuk membantu meningkatkan pendapatan petani.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Yusof Apdal, berkata program itu menggalakkan penggunaan dan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan petani serta membuktikan STI mudah diterapkan dalam kehidupan seharian.
Katanya, program itu membimbing peserta untuk menambah baik kualiti hasil tanaman mereka di samping menjual baja vermikompos sebagai sumber pendapatan tambahan.
“Dengan menguasai teknik vermikompos menggunakan cacing tanah African nightcrawler, peserta mampu menghasilkan tanaman seperti durian, avocado, sayuran dan kacang panjang berkualiti tinggi yang lebih berdaya tahan terhadap penyakit dan serangan serangga.
“Peserta juga berpotensi untuk menjana pendapatan bersih sebanyak RM5,200 sebulan berdasarkan penjualan 2,000 kilogram baja vermikompos.
“Usaha mereka akan meningkatkan taraf hidup di sekitar kawasan Kampung Melangkap Kapa dan Kampung Tanginambur serta memastikan bekalan makanan yang selamat dan terjamin.
“Saya yakin semua peserta bakal membangunkan Kota Belud sebagai pusat pengeluaran tanaman lestari di Sabah melalui aplikasi teknologi vermikompos,” katanya ketika melancarkan Program Kembara Komuniti: Kecilkan Jejak, Besarkan Impak bertemakan ‘Ada Sisa, Jadi Bisnes Bah!’ di Kampung Melangkap Tiong, di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraisah Munirah Majilis.

Program Kembara Komuniti itu dijalankan dengan kerjasama Bioxpert Sdn Bhd (Bioxpert), pengeluar produk baja vermikompos organik selaku penyedia teknologi dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk memudahkan pertukaran ilmu dan pemindahan teknologi antara pelajar, pakar industri serta Bioeconomy Corporation selaku pemacu industri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, berkata program Kembara Komuniti itu adalah komitmen Bioeconomy Corporation yang menyatukan pihak kerajaan, industri dan akademia dalam mempromosikan penggunaan teknologi berasaskan bio untuk meningkatkan kualiti hidup dan kemahiran masyarakat, termasuk petani.
“Melalui teknologi vermikompos, petani dapat mengitar semula bahan buangan pertanian dan menghasilkan baja berasaskan bio dalam masa 30 hingga 60 hari, berbanding 180 hari atau lebih dengan kaedah pengomposan konvensional.
“Vermikompos yang menggabungkan peranan cacing dan mikroorganisma pengurai menawarkan proses yang lebih cepat dan efisien berbanding dengan kaedah tradisional yang hanya bergantung kepada mikroorganisma.
“Mereka bakal memperoleh lebih kurang 2,000 kilogram baja daripada 2,200 kilogram sisa pertanian. Ini membantu mereka untuk meningkatkan produktiviti pertanian, mengurangkan kos pengeluaran dan mewujudkan amalan pertanian dan sumber ekonomi di Sabah yang lebih lestari serta memenuhi matlamat ‘bioekonomi untuk semua’.
“Petani juga akan diberikan sokongan dan akses kepada pasaran yang lebih luas, pengaturan jualan bersama, dan latihan pengelolaan perniagaan serta pemasaran untuk memastikan kelestarian aktiviti pertanian mereka,” katanya.
Bioxpert adalah syarikat berasaskan bio yang diberikan fasilitasi oleh Bioeconomy Corporation di bawah Program Pembangunan Produk 3.0.
Berpusat di Kampung Ratau, Manggatal, syarikat itu menyediakan akses teknologi, pasaran dan sumber daya lain kepada peserta program Komuniti Kembara, ‘Ada Sisa, Jadi Bisnes Bah!’. – Info X