KOTA KINABALU: Tiga cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas dan melanggar tiang elektrik dan pokok di Tanjung Lipat, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.26 pagi.
Katanya, seramai 14 anggota dan pegawai bersama tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Camry dipercayai hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di tepi jalan.
“Terdapat tiga lelaki berusia lingkungan 20 tahun mengalami kecederaan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta berkenaan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Dua lagi mangsa yang masih tersepit di dalam kereta dikeluarkan oleh pasukan bomba dan terus dihantar ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain, sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.13 pagi,” katanya. – Info X