Search

Bomba selamatkan kanak-kanak terkunci dalam kereta

May 25, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap 20 minit dalam sebuah kereta di tempat parkir berhadapan sebuah kedai di Batu 7, Labuk Jaya, di sini, pagi tadi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.37 pagi.

Katanya, seramai lapan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terkunci di dalam kereta jenis Perodua Axia.

“Pasukan bomba kemudian membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas lapan minit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota bomba mengeluarkan kanak-kanak yang terkunci di dalam kereta di kawasan parkir berhadapan sebuah kedai di Batu 7, Labuk Jaya, Sandakan.

Menurutnya, mangsa dalam keadaan stabil ketika dikeluarkan dan diserahkan kepada keluarganya.

“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 10.55 pagi,” katanya. – Info X