Search

Kemudahan pelawat di DESA Dairy Farm Kundasang akan ditingkatkan – KM

May 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ladang ternakan lembu tenusu, DESA Dairy Farm di Mesilau, Kundasang yang menjadi tarikan pelancongan di kawasan tanah tinggi itu bakal ditambah baik untuk meningkatkan keselesaan pengunjung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata antara perancangan yang bakal dilaksanakan ialah pembangunan ‘New Farm Shop’ dan penambahan kawasan aktiviti pelawat.

Katanya, turut ditambah ialah tempat letak kereta untuk menampung lebih ramai pelawat yang berkunjung ke destinasi tarikan pelancongan itu.

“Ini untuk memastikan kemudahan pelawat di DESA Dairy Farm ditingkatkan dengan perbelanjaan sebanyak RM7.8 juta agar dapat menampung lebih ramai pelawat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Malam Apresiasi DESA 2024 di Sabah Intermational Convention Centre (SICC), di sini, malam tadi.

Selain itu, Hajiji berkata DESA juga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil ternakan lembu tenusu dan agro pelancongan di Mesilau dengan melaksanakan projek pembinaan tambahan kandang lembu tenusu dengan kos sebanyak RM8 juta.

Katanya, kemudahan itu dilengkapi dengan peralatan moden bagi memastikan ‘animal welfare’ dan ‘cow comfort’ terjaga, dengan muatan sehingga 200 ekor lembu. – Info X