Search

Perniagaan Kumpulan DESA catat pertumbuhan stabil

May 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Syarikat kumpulan DESA mencapai pertumbuhan perniagaan yang stabil dengan kedudukan kewangan yang kukuh sejak 2012 sehingga kini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata prestasi baik anak syarikat kerajaan negeri itu dicapai melalui pelaksanaan pelbagai strategi pemulihan perniagaan.

Katanya, DESA juga melaksanakan strategi penstrukturan semula kewangan yang sebahagian besarnya dibiayai rizab tunai yang dijana secara dalaman.

“Saya percaya ini adalah hasil daripada pengurusan dana dan perancangan strategik yang sangat berkesan dan cekap oleh lembaga dan pengurusan DESA.

“DESA kekal bergerak maju dalam pemodenan dan pembangunan perniagaan serta dapat memberi pulangan positif kepada pelaburan pemegang saham.

“Sehingga kini, DESA telah memberi dividen sebanyak RM30.5 juta kepada Kerajaan Negeri,” katanya pada Malam Apresiasi DESA 2024 di Sabah Intermational Convention Centre (SICC), di sini, malam tadi.

Hajiji menyaksikan penyerahan bayaran dividen RM3 juta oleh Pengerusi Kumpulan DESA, Brig Gen (B) Tan Sri Liew Yun Fah kepada Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun pada Majlis Malam Apresiasi 2024 Kumpulan DESA di SICC.

Hajiji berkata, syarikat kumpulan DESA memainkan peranan penting dalam mengubah sektor pertanian Sabah, terutama sub-sektor ternakan menjadi sektor yang moden, dinamik dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Sementara itu, beliau percaya, kejayaan DESA mengambil alih Projek Pusat Ternakan Bersepadu Keningau KILC daripada Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) pada Julai 2021, dapat membantu menerajui industri ruminan di negeri ini.

Katanya, DESA yang menjadi antara pengeluar utama ayam dan susu segar di Sabah perlu terus meningkatkan produktiviti dan menghasilkan produk berkualiti, mengembangkan kapasiti pengeluaran serta teknologi penternakan moden untuk menyokong ternakan ayam dan ternakan yang intensif serta mampan di negeri ini.

“Saya percaya ia dapat dilakukan kerana DESA telah melaksanakan projek pemodenan infrastruktur dan fasiliti pengeluaran di beberapa premis DESA dalam perniagaan ternakan unggas dengan kos sebanyak RM18 juta sejak 5 tahun lalu.

“Antaranya ialah penambahbaikan fasiliti kilang penyembelihan ayam di Lok Kawi, pembinaan semula dan penambahan kandang ayam moden di Kabang, Papar, pembinaan perumahaan atau kuarters baharu untuk pekerja ladang di Bongawan, selain pemodenan kandang ayam,” katanya.

Hajiji menerima cenderamata daripada Pengerusi Kumpulan DESA, Brig Gen (B) Tan Sri Datuk Liew Yun Fah pada majlis Malam Apresiasi 2024 Kumpulan DESA di SICC).

Beliau juga mahu DESA terus melaksanakan strategi perniagaan efektif untuk meningkatkan jualan, menambah nilai jenama DESA dari segi pemasaran, peruncitan dan kepelbagaian produknya, termasuk membuka lebih banyak kedai DESA Fresh Mart (DFM) bagi membolehkan produk DESA dipasarkan kepada pelanggan dan pengguna dengan lebih meluas.

Katanya, sejak 2020, lima DFM telah dibuka oleh DESA di Kota Belud, Ranau, Papar, Tuaran dan Sulaman, manakala di Kudat akan dibuka pada hujung bulan ini serta di Beaufort dan Tenom pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 20 kedai DFM, termasuk satu dairy kiosk (DESA MOO) di Imago Shopping Mall.

Hajiji juga berharap Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kumpulan DESA terus membantu dalam membangunkan industri pertanian khususnya pembangunan agromakanan di Sabah, selain terus melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya dalam membantu kebajikan pekerjanya. – Info X