Search

Isu 40 peratus: Pandikar persoal sikap berdiam diri PKR, DAP Sabah

May 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia mempersoalkan tindakan berdiam diri pemimpin PKR dan DAP Sabah berhubung isu 40 peratus hak rakyat Sabah di bawah Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, jika pemimpin DAP dan PKR dalam kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ikhlas membantu membangunkan Sabah, mereka tidak sepatutnya mendiamkan diri ketika Ketua Menteri memerlukan pembelaan.

“Kenapakah pada masa Ketua Menteri Sabah memerlukan pembelaan dan sokongan dalam isu tuntutan 40 peratus di bawah Artikel 112D dan 112C, menteri-menteri DAP dan PKR dalam Jemaah Menteri YAB DSP Hajiji berdiam diri?

“Adakah tuntutan 40 peratus rakyat Sabah di bawah Artikel 112C dan 112D ini perkara yang remeh dan tidak penting pada pandangan menteri DAP dan menteri PKR dalam kerajaan YAB DSP Hajiji?

“Melalui kenyataan ini, saya sebagai Presiden USNO, salah sebuah parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa pemimpin DAP dan PKR untuk bersikap profesional menyokong ketua mereka dalam Jemaah Menteri, iatu YAB DSP Hajiji dalam pendiriannya sebagai Pengerusi GRS yang tidak berkompromi dengan sesiapa sahaja terhadap hak 40 peratus rakyat Sabah yang termaktub dalam Artikel 112C dan 112D,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pandikar berkata, sikap berdiam diri itu bermakna menteri-menteri DAP dan PKR dalam kerajaan negeri sekata dengan pendirian ketua mereka di Putrajaya yang menghalang tuntutan 40 peratus hak rakyat Sabah di bawah Artikel 112D dan 112C Perlembagaan Persrlekutuan.

Katanya, perkara itu dilihat melalui tindakan Peguam Negara membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang membenarkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk meminta mahkamah membuat semakan kehakiman terhadap hak 40 peratus rakyat Sabah di bawah Artikel 112C dan 112D.

Pandikar berkata, sikap berdiam diri pemimpin PKR dan DAP Sabah bertentangan dengan kenyataan mereka sebelum ini yang mengeluarkan kenyataan dan menonjolkan sikap bahawa mereka fokus, komited dan akan sedaya upaya membantu Ketua Menteri untuk membangunkan negeri Sabah. – Info X