SEPANGGAR: Seramai 25 bakal haji dari sekitar Parlimen Sepanggar menerima sumbangan bagi melaksanakan ibadah haji di Tanah Suci Mekah pada tahun ini.
Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud di Surau Al-Ikhwan Taman Kuala Manggatal, di sini, hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mustapha mengingatkan bakal haji untuk menjaga kesihatan agar dapat menunaikan Rukun Islam Kelima itu dengan sempurna.
“Kita mengadakan program khusus kepada bakal jemaah haji dari Parlimen Sepanggar seramai 25 orang dan kita dimaklumkan penerbangan pertama adalah pada 31 Mei ini.
“Saya berharap agar jemaah haji sentiasa menjaga kesihatan di Tanah Suci dan mengambil peluang untuk melipatgandakan ibadah kerana bukan mudah untuk kita berada di Tanah Suci dan kemungkinan hanya sekali seumur hidup,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, Mustapha turut meminta jika ada lagi bakal haji dari Sepanggar yang tercicir daripada menerima sumbangan supaya menghubungi Pejabat Ahli Parlimen Sepanggar.

Katanya, setakat ini hanya 25 bakal haji dari Sepanggar yang dikenal pasti berangkat ke Tanah Suci Mustapha menyampaikan sumbangan kepada bakal haji dari Parlimen Sepanggar. tahun ini, namun mungkin ada yang belum dikenal pasti.
Dalam hal berkaitan, beliau turut mengumumkan sebanyak 20 haiwan korban akan diagihkan ke masjid dan surau di seluruh kawasan Sepanggar sempena sambutan Aidiladha tidak lama lagi.
Beliau berkata, masjid dan surau yang tidak menerima sumbangan haiwan korban daripada Pejabat Ahli Parlimen Sepanggar pada tahun lalu akan diutamakan pada tahun ini. – Info X