TAWAU: Bomba menemukan mayat seorang lelaki warga emas yang mula membengkak selepas membuka pintu rumah terkunci di Taman Maju Jaya, Jalan Chong Thien Vun, di sini, malam ini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas itu pada jam 7.09 malam.
Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Yahya Abd Fattah tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi mendapati pintu bilik terkunci seterusnya dengan menggunakan peralatan khas, pintu bilik berkenaan berjaya dibuka.
“Anggota menemukan mayat seorang lelaki warga emas yang sudah mula membengkak di dalam bilik itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 7.48 malam. – Info X