Search

Liga Super: Jafri Chew hadiahkan tiga mata buat Sabah

May 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penyerang Sabah FC, Jafri Chew menghadiahkan tiga mata buat Sabah selepas menjaring gol kedua pasukan untuk menewaskan Kuching City FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Jafri yang menggantikan Darren Lok pada minit ke-77 berjaya mencipta jaringan pada minit ke-84 selepas menerima hantaran Saddil Ramdani dalam situasi kucar kacir di hadapan gawang Kuching City.

Kedudukan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan, termasuk sembilan minit masa tambahan yang diberikan pengadil dalam aksi malam ini.

Sebelum itu, Darren berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas menyudahkan sepakan penalti dengan tepat pada minit ke- 75.

Sepakan penalti itu diberikan kepada Sabah selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan pemain pertahanannya, Kwang Ming Ko dijatuhkan pemain lawan di kawasan kotak penalti Kuching City.

Sebelum itu, Kuching meraikan gol pertama perlawanan selepas penyerangnya Pedro Henrique berjaya memperdaya Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-63 untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan dengan 1-0.

Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Sabah berjaya mendapat gol penyamaan 1-1 melalui sepakan penalti pada minit ke-75.

Selepas kecewa dengan gol penalti Sabah, seorang lagi penyerang Kuching City, Tchetche Hermann berjaya melakukan satu lagi jaringan pada minit ke-79, namun semakan VAR mendapati beliau berada pada kedudukan offsaid.

Darren Lok meraikan gol hasil sepakan penalti dalam aksi Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Likas, malam ini.

Pada babak pertama, Sabah terlebih dahulu melakar gol awal pada minit keenam hasil tandukan Darren Lok hasil hantaran Saddil Ramdani, namun gol berkenaan dibatalkan setelah pengadil menyemak VAR.

Situasi itu agak mengecewakan pemain dan penyokong Sabah lebih-lebih lagi semakan VAR yang membatalkan gol terbabit bukan merujuk kepada situasi ketika jaringan dilakukan Darren.

Semakan VAR adalah terhadap situasi sebelum bola sampai kepada Saddil seminit sebelum itu, ketika berlaku sedikit kekasaran terhadap pemain Kuching City oleh pemain pertahanan Sabah, Dominic Tan. – Info X