SANDAKAN: Lebih 1,800 kotak rokok seludup berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Taman Hing Lee, di sini, Jumaat lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang itu, semua rokok yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran itu dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.2 juta termasuk cukai.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, operasi Op Kontraband itu dijalankan atas maklumat berkaitan barang tidak bercukai.
Katanya, pemeriksaan di rumah berkenaan berjaya menemui 984,000 batang rokok jenama Era Biru, Exsen Blueberry Click dan rokok kretek jenama Platinum Seven.
“Dalam serbuan itu, pasukan operasi turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai penjaga rumah berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, semua rokok berkenaan dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, pihaknya percaya, rumah berkenaan dijadikan sebagai tempat menyembunyikan rokok tanpa kelulusan kastam itu sebelum dijual atau diedar ke pasaran sekitar.
Katanya, tangkapan dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan lanjut.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut 135(1)(d) Akta Kastam 1976,” katanya. – Info X