KOTA KINABALU: Harga runcit kepak atau sayap ayam ditetapkan RM16.50 sekilogram di Sabah dan RM17 sekilogram di Labuan bermula esok, sempena sambutan Pesta Kaamatan yang kemuncaknya dirayakan pada 30 dan 31 Mei ini.
Penetapan harga maksimum itu diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan 2024 berkuatkuasa 27 Mei hingga 2 Jun ini.
Sayap ayam adalah antara lapan barangan yang disenaraikan dalam SHMMP kali ini sebagai langkah memastikan tiada peningkatan harga ketika permintaan meningkat disebabkan musim perayaan.
Tujuh barangan lagi ialah daging kerbau import (India), bawang merah kecil (India), bawang putih (China), cili kering keriting, daging babi (perut), daging babi (daging & lemak) dan babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja).
Bagi harga daging kerbau import (India), harga runcit maksimum yang ditetapkan di Sabah dan Labuan ialah RM22 sekilogram, manakala bawang merah kecil (India) ditetapkan RM7 sekilogram di pantai barat dan RM8 sekilogram di pantai timur, manakala RM7.50 sekilogram di Labuan.
Harga runcit maksimum bawang putih (China) pula ialah RM11 sekilogram di seluruh Sabah dan Labuan; cili kering keriting – RM26 sekilogram di seluruh Sabah dan Labuan; babi hidup – RM18 sekilogram di seluruh Sabah dan Labuan; daging babi (perut) – RM38 sekilogram di seluruh Sabah dan RM40 sekilogram di Labuan; daging babi (daging dan lemak) – RM32 sekilogram di seluruh Sabah dan RM33 sekilogram di Labuan.
SHMMP Pesta Kaamatan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi membolehkan penentuan harga dibuat.
Harga maksimum yang ditetapkan untuk skim itu di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman sesawang KPDN di www.kpdn.gov.my.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim itu melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti yang ditetapkan di bawah akta berkenaan. – Info X