Search

Kemudahan padang antara masalah pembangunan bola sepak di Sabah

May 27, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kemudahan padang yang sesuai untuk melaksanakan program pembangunan bola sepak dikenal pasti antara masalah yang dihadapi akademi atau kelab bola sepak di negeri ini.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Alijus Sipil, berkata perkara itu menjadi rungutan utama di kebanyakan daerah dalam melaksanakan program bola sepak di kawasan masing-masing.

Katanya, disebabkan itu hanya daerah yang mempunyai kemudahan padang yang baik banyak akademi bola sepak diwujudkan, khususnya di Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Sandakan dan Tuaran.

“Akademi bola sepak kita lihat banyak di Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Sandakan dan Tuaran. Puncanya ialah kemudahan padang,” katanya pada Majlis Penyerahan Peralatan Kepada Ahli Gabungan SAFA dan Akademi Bola Sepak Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang mewakili Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmey Yahya untuk menyempurnakan majlis itu, berkata langkah segera menyelesaikan masalah padang perlu diambil, termasuk mengadakan kerjasama dengan sekolah.

Katanya, kebanyakan sekolah dilengkapi kemudahan padang yang boleh dimanfaatkan menerusi kolaborasi dengan pihak sekolah yang terbabit.

“Apa yang boleh dilakukan ialah cuba mengadakan kolaborasi dengan sekolah yang ada kemudahan padang yang baik.

“Jadi perlu ada persefahaman dengan pihak sekolah. Ini kerana padang sangat penting untuk program latihan bola sepak,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu sebanyak 20 Ahli Gabungan SAFA dan 31 Akademi Bola Sepak menerima peralatan untuk program latihan bola sepak.

Sementara itu, dalam ucapan Shahelmey yang dibacakan Alijus, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata beliau sependapat bahawa usaha untuk melahirkan pemain pelapis berbakat perlu bermula di peringkat akar umbi.

“Langkah itu penting kerana ia akan menjadi penyumbang utama serta teras kepada pembangunan sukan bola sepak bermula di setiap daerah hingga kepada peringkat antarabangsa.

“Justeru, saya percaya usaha yang dilakukan pada hari ini akan mampu memainkan peranan ke arah melahirkan pemain berbakat, khususnya di Negeri Sabah,” katanya.

Shahelmey berkata, penubuhan akademi adalah satu perkembangan yang positif yang beliau percaya ramai ibu bapa teruja untuk menghantar anak masing-masing agar dapat menimba ilmu bola sepak.

Secara tidak langsung, katanya ia bukan saja melahirkan masyarakat golongan anak muda sihat tetapi juga seterusnya merangka masa depan terbaik untuk mereka.

“Dengan adanya usaha berterusan ini, sudah pasti kita akan dapat melihat pemain bola sepak yang baik suatu hari kelak, seterusnya mengangkat Sabah sebagai pengeluar pemain bola sepak berbakat bermula di peringkat akar umbi.

“Oleh demikian, saya secara peribadi mengalu-alukan kewujudan lebih banyak akademi untuk merancakkan lagi program pembangunan sukan bola sepak di Sabah,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan kerjasama di antara akademi di daerah-daerah dan SAFA dalam mengelolakan latihan bola sepak akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa. – Info X