KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penguatkuasaannya mengaktifkan Ops Tunda bagi menangani masalah kereta terbiar di sekitar bandar raya ini.
Menerusi satu kenyataan, DBKK berkata pihaknya akan melaksanakan operasi menunda, mengalihkan dan mengeluarkan kompaun ke atas kenderaan terbiar, usang dan sudah ditinggalkan di tempat awam.
Katanya, kenderaan yang dikesan sudah tersadai lama di tepi atau bahu jalan, kawasan perumahan dan komersil akan dikenakan tindakan itu.
“Pemilik kenderaan yang ingkar dan gagal atau tidak memberi kerjasama akan berdepan dengan tindakan di bawah Undang-undang Kecil (1) (Anti Sampah Sarap) DBKK 1984 (Pindaan 2005).
“Undang-undang kecil itu memperuntukkan tindakan penundaan kereta dan kompaun tidak melebihi RM500 bagi kesalahan yang berterusan atau berulang, atau jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 dan segala kos yang berkaitan ditanggung pemilik kenderaan,” katanya.
DBKK berkata sejak 2020 hingga kini, sebanyak 1,038 Notis Kenderaan Terbiar/Usang dikeluarkan, manakala sebanyak 83 kenderaan ditunda melalui Ops Tunda yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan DBKK.

Berikutan itu, DBKK mengingatkan warga bandar raya ini tidak membiarkan kenderaan tersadai lama di tempat awam, bahu jalan atau tepi jalan raya hingga menghalang laluan trafik dan menjadi punca persekitaran yang kotor.
“Ops Tunda akan dilaksanakan dari semasa ke semasa demi meningkatkan tahap keteraturan, kebersihan dan keselamatan persekitaran bandar raya Kota Kinabalu,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai operasi itu boleh diperolehi dengan menghubungi Jabatan Penguatkuasaan DBKK di talian 088-527800. – Info X