KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan penutupan sambutan Pesta Kaamatan 2024 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang, Jumaat ini.
Ketibaan pemimpin nombor satu negara itu dijadual pada jam 10 pagi dengan disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Huguon Siou yang juga Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Selepas menyampaikan ucapan, Perdana Menteri akan melakukan simbolik ‘mongomot’ atau menuai padi dan ‘popoo’pi pa’ai doid tangkob’ atau menyimpan padi sebagai tanda selesai menuai padi.
Beliau seterusnya akan mengisytiharkan penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 diikuti paluan gong sebanyak tujuh kali.
Sementara itu, esok Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dijadual menyempurnakan sambutan kemuncak Kaamatan peringkat negeri.
Turut dijadual hadir ialah isteri beliau, Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Pelbagai persembahan tradisi dan pameran kebudayaan etnik Kadazandusun dan Murut memenuhi aturcara sepanjang dua hari sambutan berkenaan, merangkumi acara yang diadakan di dalam dewan, dewan terbuka dan rumah-rumah tradisi.
Kemuncak sambutan sudah pasti pemilihan Unduk Ngadau Kaamatan 2024 yang diadakan Jumaat ini.
Ribuan pengunjung termasuk pelancong asing dan tempatan dijangka memenuhi Hongkod Koisaan KDCA sepanjang dua hari sambutan Kaamatan peringkat negeri itu. – Info X